Sunday, June 22, 2008

Ensiklopedia Fuqaha


Adalah suatu kenyataan yang jelas bahawa usaha untuk membangunkan semula tamadun sesuatu ummah, sebenarnya tidak akan terlepas dari sejarah kesarjanaan ummah itu sendiri secara global.

Dalam konteks ini, mengenali para ilmuan dan kesarjanaan mereka dalam pelbagai bidang ilmu secara lebih dekat adalah aset utama dalam kerangka pembangunan tersebut. Mereka adalah insan-insan yang bekerja keras demi kerana Allah, agama dan perjuangan RasulNya tanpa banyak pergantungan kepada kepentingan keduniaan. Keikhlasan dan kegigihan mereka adalah sesuatu yang terserlah, malah dapat diperhatikan pada komitmen mereka terhadap pengembangan agama Allah Subhanahu Wata‘ala, menepati dengan tanggungjawab mereka sebagai pewaris para anbiya’.

Justeru itu, penulisan buku Ensiklopedia Fuqaha’ yang penulis hasilkan ini adalah merupakan sebahagian daripada usaha untuk merekodkan peranan dan sumbangan para ulama dan fuqaha yang dikategorikan sebagai pemikir, pemimpin dan model kepada ummah. Dalam penulisan ini penumpuan khusus diberikan kepada fuqaha’ Mazhab Shafi‘i, sesuai dengan kedudukannya sebagai salah satu daripada aliran Mazhab Ahli al-Sunnah wa al-Jama‘ah yang menjadi ikutan penduduk rantau ini sejak dahulu lagi.

Selain daripada itu, pengalaman saya sebagai tenaga akademik yang mengendalikan kuliah dalam kursus pembacaan Teks Fiqh pada peringkat Ijazah Sarjana Muda mendapati sebahagian besar pelajar tidak mengenali tokoh-tokoh fiqh dan para perawi Hadis terkemuka, di mana nama-nama mereka disebut di dalam Kitab-kitab Fiqh yang muktabar di dalam Mazhab Shafi‘i, seperti kitab al-Majmu‘ Sharh al-Muhadhdhab tulisan Imam al-Nawawi (w. 676 H.), kitab al-Iqna‘ tulisan al-Khatib al-Sharbini (w. 977 H.) dan Tufhat al-Habib ‘Ala Sharh al-Khatib oleh al-Bujairimi (w. 1221 H.). Penerbitan buku ini akan membuka jalan mudah kepada para pelajar berkenaan mengenali tokoh-tokoh tersebut secara lebih mendalam, di samping mengenali hasil penulisan mereka.

Sebagai pendahuluannya, saya mulakan dengan pengenalan kepada sebilangan fuqaha’ dari kalangan sahabat, tabi‘in dan atba’ tabi‘in sehingga ke saat kelahiran Imam al-Shafi‘i kerana wadah fiqh atau perundangan itu adalah sesuatu yang bsesuatu yang bermula sejak zaman Baginda Rasulullah s.‘a.w dan seterusnya berkembang dengan ijtihad sebilangan para sahabat dan fuqaha’ berikutnya pada zaman tabi‘in dan atba’ tabi‘in. Justeru itu, perlu dikenali terlebih dahulu generasi awal yang menjadi perintis perkembangannya.

Ensiklopedia ini dijangka dan dirancang, insya’ Allah, untuk diterbitkan di dalam tujuh jilid seperti berikut:

1. Ensiklopedia Fuqaha’ – Fuqaha’ Zaman Sahabat, Tabi‘in dan Atba’ Tabi‘in (Jilid I)
2. Ensiklopedia Fuqaha’ – Fuqaha’ Mazhab Shafi‘i Negara-negara Islam (Jilid II)
3. Ensiklopedia Fuqaha’ – Fuqaha’ Mazhab Shafi‘i Negara-negara Islam (Jilid III)
4. Ensiklopedia Fuqaha’ – Fuqaha’ Mazhab Shafi‘i Negara-negara Islam (Jilid IV)
5. Ensiklopedia Fuqaha’ – Fuqaha’ Mazhab Shafi‘i Negara-negara Islam (Jilid V)
6. Ensiklopedia Fuqaha’ – Fuqaha’ Mazhab Shafi‘i Nusantara (Jilid VI)
7. Ensiklopedia Fuqaha’ – Fuqaha’ Mazhab Shafi‘i Nusantara (Jilid VII).

Akhirnya, pada kesempatan ini, saya ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada penerbit, Intel Multimedia and Publication - yang telah mengambil langkah utama menerbitkan karya ini.

Semoga usaha kecil ini akan dapat memberi manfaat kepada generasi kini dalam menimba ilmu dan mencari pengalaman agar mereka mampu berdaya saing dalam globalisasi dunia hari ini.

Wa ma taufiqi illa bilLah!


Dr. Haji Mat Saad bin Abdul Rahman
Mantan Fellow Kanan
Pusat Syariah, Undang-Undang dan Sains Politik
Institut Kefahaman Islam Malaysia

Spesifikasi Buku
Saiz: 17 x 24cm
Bil Halaman: xiv + 154
No ISBN: 978-983-2417-39-2
Harga: RM15.00

No comments: